Alhamdulillah, selesai sudah sebuah program besar bagi semua agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat kebangsaan bagi tahun 2009. Kali terakhir Melaka menjadi tuan rumah program sebegini pada tahun 1989 ( kalau tak silap la ). Selepas 20 tahun barulah program besar peringkat kebangsaan ini kembali ke Melaka.
Penat? Memang memenatkan. Bukan sahaja bertarung dengan keletihan tetapi juga cuaca yang panas dan terik turut menjadi 'musuh' di dalam menjayakan program ini. Tetapi aku seronok. Beginilah agaknya mereka yang berjuang di sawah bendang bagi menghasilkan makanan ruji kita. Cuaca panas itulah agaknya yang sering membakar semangat warga tani untuk terus tekun berusaha menghasilkan pelbagai produk makanan buat orang lain yang bergelar pendidik, pasukan keselamatan, kontraktor, pekerja kilang, atau sesiapa sahaja. Tanpa mereka yang bergelar petani dan peladang hatta nelayan mungkin sudah lama Malaysia berwajahkan Singapura?
Dulu aku tidak ada kesedaran tentang pertanian. Aku juga seperti orang lain yang cuma tahu bila ke pasar ada itu dan ini. Tetapi, Alhamdulillah, sejak berkecimpung di dalam dunia pertanian, timbul keinsafan dalam diri. Di antara tugas aku ialah membuat pemantauan tentang bekalan bermula dari ladang hinggalah ke dalam pasaran seperti pasaraya dan sebagainya. Banyak sebenarnya kisah yang aku temui. Variasi kehidupan warga petani alaf ini mungkin tidaklah sedhaif 20 atau 30 tahun dulu. Namun tetap juga terselit keperihan di dalam usaha mereka sebelum meniti kejayaan.
Jauh di sudut hati, aku juga ingin berjaya seperti mereka. Bekerja makan gaji bukanlah tidak bagus, cuma aku tidak mahu menipu diri bila bercakap tentang kepuasan. Bukan duit berganda yang dihambat, cuma kepuasan.
Syukur pada Tuhan yang telah menetapkan takdir aku di bidang ini. Kini aku aku semakin mengerti tentang hikmahNya.
Aku percaya sesungguhnya, 9/10 punca rezeki datangnya dari perniagaan!