Sekali lagi terimakasih pada semua yang telah sudi bersama blog ulugadong. Aku akui mulanya aku menciptakan blog ini sekadar suka-suka. Kerana aku sedar cukup sukar untuk menyatukan kawan-kawan lama secara terancang. Aku sendiri buat, sendiri baca dan syok sendiri. Ketawa sendiri dan sebak sendiri.
Tetapi aku terfikir, mungkin blog ini mampu menjadi wadah pertemuan sesama kita. Kita berkongsi pengalaman, suka duka, foto kenangan, khabar bersama. Alhamdulillah, Allah Maha Besar. Berjaya juga aku menjejaki ramai kawan-kawan melalui blog ini. Cuman antara yang terawal selain Jamil yang sememangnya sentiasa berhubung rapat dengan aku. Terimakasihlah. Allah jua yang membalasnya.
Namun iltizam untuk menjadikan alumni yang sebenar masih belum terpadam. Sekalipun pada tahun 2003 ianya seakan menjadi kenyataan namun keadaan semasa seringkali membataskan pertemuan-pertemuan selanjutnya.
Kepercayaan pihak SMAHMYUG dengan memberikan aku tanggungjawab besar mengemudi persatuan alumni ini pada tahun 2003 yang lalu, aku terima dengan rasa yang berbelah bagi. Bukan mudah membahagikan masa di antara kerja-kerja persatuan, tugas di pejabat dan juga keluarga. Lantas, pada Ust Wan warden Smahmyug di kala itu, aku lahirkan kerisauan. Ust Wan aku lihat cukup positif apatahlagi pertemuan dan perbincangan bersama pengetua Ustazah Zaiton ketika itu jga cukup positif. Tetapi aku sendiri kian jauh kerana tugasan semasa. Seingat aku, kali akhir aku bersama Ust Wan ketika program lawatan YB Dato' Awalludin ADUN Kota ke SMAHMYUG bagi meninjau tapak surau Darul Aitam yang akan dibina sebagai menggantikan surau lama. Selepas itu tiada khabar. Aku difahamkan Ust Wan telah pun bertukar ke Kelantan.
Begitulah sedikit rentetan pasca penubuhan Persatuan Alumni SMAHMYUG dan pelancaran laman web SMAHMYUG pada 2003. Ramai juga teman seangkatan yang hadir di majlis itu- Musazali dan adik-adiknya, Jamil,Madi,Cilin, Salizan, Joe, Amy Miau selain dari bekas-bekas pelajar dari tahun yang berlainan. Usaha bagi menyatukan bekas pelajar sebenarnya masih berkesinambungan.
Untuk 1 November ini, kita tidaklah merancang majlis yang besar, cuma kita sekadar berjumpa, makan-makan, berbual dan saling bertanya khabar, cukuplah. Cukuplah sekali jika ianya dapat direalisasikan! Sekali dalam 20 tahun!!